SATU VIDEO TIKTOK BOLEH BAWA ANDA KE MAHKAMAH?


SATU VIDEO TIKTOK BOLEH BAWA ANDA KE MAHKAMAH?

 

Apa Yang Rakyat Malaysia Perlu Tahu Sebelum Menekan Butang “Post”

 

“Saya cuma buat TikTok.”

 

Ayat ini mungkin kedengaran biasa. Setiap hari, rakyat Malaysia memuat naik video tentang makanan, perniagaan, pengalaman pelanggan, jiran, majikan, sekolah, selebriti, influencer dan pelbagai isu semasa.

 

Tetapi adakah kita pernah terfikir:

 

Bolehkah satu video TikTok menyebabkan kita didakwa di mahkamah?

 

Jawapan ringkasnya: Ya, bergantung kepada kandungan video, niat, konteks dan kesan penerbitannya.

 

Ini bukan bermaksud seseorang tidak boleh mengkritik, memberikan pendapat atau mendedahkan sesuatu isu kepada orang ramai. Malaysia mengiktiraf kebebasan bersuara di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tetapi hak tersebut tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan oleh Perlembagaan dan undang-undang.

 

Jadi, sebelum kita menekan butang “Post”, ada beberapa perkara penting yang perlu difahami.

 

1. TikTok bukan “ruang bebas undang-undang”

 

Ramai orang mungkin beranggapan bahawa undang-undang hanya terpakai kepada akhbar, televisyen atau media profesional.

 

Itu tidak tepat.

 

Video TikTok, Facebook post, Instagram Story, YouTube video, komen, siaran langsung dan kandungan media sosial lain boleh menjadi bentuk komunikasi yang mempunyai implikasi undang-undang.

 

Sebagai contoh, seseorang memuat naik video:

 

“Kedai ini menipu pelanggan. Jangan pergi sini. Mereka memang penipu.”

 

Jika kenyataan tersebut merujuk kepada perniagaan atau individu tertentu dan membawa maksud bahawa mereka melakukan perbuatan tidak jujur, persoalan undang-undang boleh timbul.

 

Ia bukan semata-mata soal “saya berhak bersuara”.

 

Persoalannya juga ialah:

 

Apakah yang sebenarnya dikatakan? Adakah ia fakta atau pendapat? Adakah ia benar? Adakah ia mencemarkan reputasi seseorang? Apakah bukti yang ada?

 

2. Risiko pertama: FITNAH

 

Antara risiko undang-undang paling biasa bagi kandungan media sosial ialah fitnah (defamation).

 

Undang-undang fitnah di Malaysia sebahagian besarnya berkembang melalui common law dan Akta Fitnah 1957 (Defamation Act 1957).

 

Secara asasnya, tuntutan fitnah lazimnya memerlukan plaintif menunjukkan bahawa:

 

1. kenyataan tersebut mempunyai makna yang memfitnah;

2. kenyataan itu merujuk kepada plaintif; dan

3. kenyataan itu telah diterbitkan kepada pihak ketiga.

 

Mahkamah sendiri menerangkan asas-asas tuntutan fitnah dalam Civil Trials Guidebook.

 

Contoh mudah

 

Bayangkan seorang pengguna TikTok berkata:

 

“Pemilik restoran ABC mencuri duit pekerja dan menipu pelanggan.”

 

Jika restoran atau pemiliknya dapat dikenal pasti, kenyataan itu boleh mempunyai implikasi fitnah.

 

Tetapi jika pengguna tersebut berkata:

 

“Saya tidak suka layanan di restoran itu. Bagi saya, perkhidmatannya sangat mengecewakan.”

 

Ini lebih hampir kepada pendapat atau pengalaman subjektif, walaupun konteks keseluruhan masih penting.

 

Perbezaan antara fakta dan pendapat amat penting.

 

3. “Tetapi benda itu memang benar!” — Adakah kebenaran sentiasa menjadi perlindungan?

 

Kebenaran boleh menjadi asas kepada pembelaan justification, tetapi seseorang tidak sepatutnya menganggap bahawa perkataan “saya bercakap benar” secara automatik menyelesaikan segala masalah undang-undang.

 

Dalam kes Masyitah Md Hassan v Sakinah Sulong [2021] 7 MLJ 144, Mahkamah Tinggi berdepan dengan kenyataan Facebook yang didakwa memfitnah plaintif. Mahkamah menekankan unsur-unsur asas fitnah dan mendapati pembelaan berdasarkan kebenaran tidak berjaya dibuktikan oleh defendan.

 

Pengajarannya mudah:

 

Jangan membuat tuduhan fakta yang serius tanpa bukti yang kukuh.

 

Contohnya:

 

❌ “Dia mencuri duit syarikat.”

 

Berbeza dengan:

 

✔️ “Saya mempunyai pengalaman berkenaan transaksi tersebut dan ini adalah dokumen yang saya gunakan untuk menyokong aduan saya.”

 

Namun, walaupun mempunyai bukti, cara sesuatu perkara diterbitkan masih boleh mempunyai implikasi undang-undang lain.

 

4. “Saya cuma share video orang lain” — Adakah saya selamat?

 

Ini juga salah satu mitos yang perlu dielakkan.

 

Mengambil kandungan orang lain, memuat naik semula, membuat “duet”, “stitch”, menambah kapsyen atau berkongsi kenyataan tertentu tidak semestinya menjadikan seseorang kebal daripada liabiliti.

 

Dalam kes-kes fitnah, konsep publication kepada pihak ketiga adalah penting.

 

Dalam Dr Zakir Abdul Karim Naik v Ramasamy Palanisamy & Another Case [2024] 2 MLRH 933, Mahkamah Tinggi mempertimbangkan beberapa penerbitan termasuk posting Facebook, artikel dalam talian dan temu bual berkaitan plaintif. Mahkamah meneliti antara lain sama ada penerbitan tersebut merujuk kepada plaintif, bersifat memfitnah dan telah diterbitkan kepada pihak ketiga serta pembelaan seperti justification, fair comment dan qualified privilege.

 

Maksud praktikalnya:

 

“Saya bukan orang pertama yang cakap” bukan semestinya jawapan yang selamat.

 

Sebelum berkongsi sesuatu kandungan, tanya:

 

“Kalau kandungan asal itu bermasalah, adakah tindakan saya menyebarkannya menambahkan masalah?”

 

5. Bukan hanya saman sivil — komunikasi tertentu boleh menjadi kesalahan jenayah

 

Ini bahagian yang sangat penting.

 

Selain undang-undang fitnah, komunikasi dalam talian juga boleh melibatkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

 

Khususnya, Seksyen 233(1)(a) memperuntukkan kesalahan berkaitan penggunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang termasuk, antara lain, komunikasi yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan, dengan niat untuk mengganggu, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu seseorang.

 

Tetapi ada satu perkembangan undang-undang yang sangat penting pada tahun 2026.

 

6. Kes Heidy Quah: Apa yang Mahkamah Persekutuan putuskan?

 

Pada 6 Februari 2026, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penting dalam kes:

 

The Government of Malaysia v Heidy Quah Gaik Li [2026] 2 MLJ 397

 

Kes ini berkaitan posting Facebook oleh Heidy Quah mengenai keadaan di pusat tahanan imigresen ketika pandemik COVID-19. Beliau kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 

Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa perkataan “offensive” dan “annoy” dalam peruntukan tersebut adalah tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan mengembalikan kedua-dua perkataan itu ke dalam peruntukan tersebut.

 

Namun terdapat satu perkara yang sangat penting:

 

Mahkamah Persekutuan juga menyatakan bahawa pendakwaan terhadap Heidy Quah atas posting tersebut tidak sepatutnya dibawa.

 

Mahkamah menerima bahawa posting berkenaan berada dalam lingkungan kebebasan bersuara dan tidak membentuk asas yang sesuai untuk pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

dalam keadaan kes tersebut.

 

Ini menunjukkan sesuatu yang penting kepada pengguna TikTok:

 

Bukan setiap kenyataan yang kontroversi, tidak popular atau menyinggung seseorang secara automatik menjadi kesalahan jenayah.

 

Konteks, kandungan dan khususnya niat masih penting.

 

7. “Annoy” bukan bermaksud setiap orang yang terasa hati boleh membuat anda bersalah

 

Ini salah satu perkara yang sering disalahfahami.

 

Selepas keputusan Heidy Quah, istilah dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dibaca dalam konteks peruntukan tersebut.

 

Mahkamah Persekutuan menjelaskan bahawa perkataan “offensive” perlu dinilai secara objektif berdasarkan kandungan dan konteks komunikasi. Mahkamah juga memberi perhatian kepada keperluan untuk membuktikan niat yang relevan dalam penggunaan perkataan “annoy”.

 

Oleh itu, contoh berikut tidak boleh dilihat secara sama rata:

 

Contoh A

 

“Saya tidak bersetuju dengan keputusan ini. Pada pandangan saya, dasar tersebut merugikan pengguna.”

 

Ini merupakan bentuk kritikan atau pendapat.

 

Contoh B

 

“Saya akan pastikan hidup kau musnah. Aku akan cari kau dan ganggu kau setiap hari.”

 

Ini mempunyai unsur yang jauh lebih serius kerana melibatkan bahasa yang boleh dikaitkan dengan ancaman atau gangguan.

 

Contoh C

 

“Dia memang penipu dan pencuri. Jangan percaya dia.”

 

Ini pula boleh menimbulkan persoalan fitnah, khususnya jika tuduhan tersebut merujuk kepada orang tertentu dan tidak dapat dibuktikan.

 

Jadi, jangan gunakan satu label sahaja untuk semua kandungan media sosial.

 

Fitnah, ancaman, gangguan, kritikan dan pendapat ialah isu undang-undang yang boleh berbeza.

 

 

8. “Saya letak disclaimer: This is just my opinion.”

 

Adakah ayat ini memberikan perlindungan automatik?

 

Tidak.

 

Meletakkan:

 

“Ini hanyalah pendapat saya.”

 

tidak semestinya mengubah kenyataan fakta menjadi pendapat.

 

Bandingkan:

 

“Pada pendapat saya, restoran itu mempunyai perkhidmatan yang sangat buruk.”

 

dengan:

 

“Pada pendapat saya, pemilik restoran itu mencuri duit pelanggan.”

 

Kenyataan kedua masih membuat tuduhan fakta yang serius walaupun dimulakan dengan perkataan “pada pendapat saya”.

 

Mahkamah akan melihat substans dan makna keseluruhan komunikasi, bukan sekadar label yang digunakan oleh penulis.

 

9. Bolehkah komen TikTok juga menimbulkan masalah?

 

Ya.

 

Jangan fikir hanya pencipta video yang bertanggungjawab.

 

Komen seperti:

 

“Betul! Dia memang penipu!”

 

atau

 

“Aku tahu dia memang mencuri duit.”

 

juga boleh menjadi komunikasi yang mempunyai implikasi undang-undang, bergantung kepada fakta dan konteks.

 

Media sosial juga bukan sekadar video utama.

 

Caption, komen, repost, screenshot, voice-over dan live stream semuanya perlu diberi perhatian.

 

10. Apa pula jika video itu menjadi viral?

 

Ironinya, semakin viral sesuatu kandungan, semakin besar potensi akibatnya.

 

Dalam kes fitnah, penerbitan kepada pihak ketiga adalah elemen penting. Media sosial menjadikan penyebaran kepada pihak ketiga sangat mudah.

 

Dalam Sundra Rajoo Nadarajah v Leaderonomics Sdn Bhd & Anor [2023] 5 MLRH 284, Mahkamah Tinggi membincangkan bagaimana surat layang yang pada asalnya mempunyai bentuk penerbitan tradisional menjadi tersebar secara meluas melalui media sosial, e-mel dan WhatsApp.

 

Maka, apabila seseorang berkata:

 

“Saya tak sangka video itu akan viral.”

 

itu mungkin menjelaskan niatnya, tetapi tidak semestinya menghapuskan semua implikasi undang-undang.

 

11. “Kalau saya padam video, masalah selesai?”

 

Tidak semestinya.

 

Bayangkan anda memuat naik video pada pukul 10 pagi.

 

Pada pukul 10.30 pagi, video itu mendapat 50,000 tontonan.

 

Pada pukul 11 pagi, anda memadamkannya.

 

Tetapi sebelum dipadam:

 

* seseorang telah membuat screenshot;

* seseorang telah merakam skrin;

* video telah dimuat turun;

* video telah dikongsi dalam WhatsApp;

* atau orang lain telah membuat repost.

 

Memadamkan kandungan mungkin merupakan langkah yang wajar dalam keadaan tertentu, tetapi ia tidak secara automatik memadamkan sejarah penerbitan atau menghapuskan segala kemungkinan tindakan undang-undang.

 

12. Bolehkah identiti pemilik akaun anonim dikenal pasti?

 

Dalam keadaan tertentu, tindakan undang-undang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat bagi mengenal pasti pihak yang tidak diketahui.

 

Sebagai contoh, dalam Abu Jamal Sulaiman & Anor v Facebook Inc

 [2021] 1 MLRH 303, plaintif mendakwa mereka telah difitnah melalui akaun Instagram palsu dan memohon penzahiran maklumat bagi membantu mengenal pasti pemilik akaun tersebut. Mahkamah membenarkan permohonan berkaitan pre-action discovery dalam keadaan kes tersebut.

 

Jadi:

 

“Saya guna akaun anonymous” tidak semestinya bermaksud identiti saya tidak boleh dikenal pasti.

 

Anonymous tidak semestinya bermaksud immune from law.

 

13. Bagaimana pula dengan “review” atau pendedahan pengalaman buruk?

 

Ini kawasan yang memerlukan pertimbangan.

 

Undang-undang tidak bermaksud seseorang tidak boleh menceritakan pengalaman buruk.

 

Contohnya:

 

“Saya datang ke kedai ini pada 5 September. Saya menunggu hampir satu jam dan makanan yang saya terima sejuk. Ini gambar resit dan makanan saya.”

 

Ini berbeza daripada:

 

“Kedai ini memang scammer. Mereka semua penipu dan mencuri duit pelanggan.”

 

Yang pertama lebih tertumpu kepada pengalaman dan fakta yang boleh disokong.

 

Yang kedua membuat tuduhan yang lebih serius terhadap integriti pihak tertentu.

 

Merujuk kepada kes TL Yee Auto Sdn Bhd v Ong Sheong Yin [2024], Mahkamah Tinggi mempertimbangkan penerbitan semula kenyataan di media sosial dan isu pembelaan justification dalam konteks pengalaman peribadi pihak yang membuat penerbitan tersebut. (Sila rujuk TL Yee Auto Sdn Bhd v Ong Sheong Yin [2024] CLJU 1527)

 

Dalam kes TL Yee Auto (M) Sdn Bhd lwn Ong Sheong Yin, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, dan seterusnya memutuskan bahawa penerbitan semula (“republication”) catatan berkenaan oleh Defendan di platform Facebook adalah bersifat fitnah serta tidak dilindungi oleh pembelaan komen adil mahupun justifikasi.

 

Mahkamah Rayuan seterusnya menganugerahkan ganti rugi sebanyak RM75,000 kepada Plaintif, berserta kos sebanyak RM30,000. Mahkamah turut memberikan relif injunksi, termasuk perintah yang menghendaki catatan berkenaan dipadamkan serta melarang penerbitan semula atau penyiaran lanjut kandungan yang sama atau bersifat serupa.

 

Keputusan ini mengukuhkan semula prinsip undang-undang tort fitnah bahawa penerbitan semula sesuatu kandungan yang berunsur fitnah boleh menimbulkan liabiliti undang-undang, walaupun penerbit semula tersebut tidak menambah sebarang komen atau kenyataan baharu. Risiko liabiliti adalah lebih ketara apabila kandungan yang diterbitkan semula mengandungi pernyataan yang dipersembahkan sebagai fakta, tetapi tidak disokong oleh asas atau justifikasi yang mencukupi.

 

Kes ini turut memberikan peringatan penting bahawa tindakan “share”, “repost” atau sebarang bentuk penerbitan semula kandungan di media sosial tidak semestinya dianggap sebagai tindakan pasif atau sekadar perkongsian maklumat. Bergantung pada fakta dan keadaan sesuatu kes, tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai suatu penerbitan semula yang tersendiri dan seterusnya mendedahkan pihak yang menerbitkan semula kandungan tersebut kepada tuntutan fitnah.

 

Dalam konteks media sosial, pengguna hendaklah berhati-hati sebelum menerbitkan semula kandungan yang berpotensi mencemarkan reputasi seseorang atau sesuatu entiti, khususnya apabila kandungan tersebut mengandungi dakwaan berbentuk fakta yang tidak dapat disahkan atau dibuktikan.

 

Berdasarkan kepada kes ini, kita boleh simpulkan juga bahawa bukan bermakna semua “review” adalah selamat.

 

Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa konteks dan bukti sangat penting.

 

14. Bagaimana jika saya seorang influencer?

 

Influencer perlu lebih berhati-hati kerana kandungan mereka boleh mencapai audiens yang sangat besar.

 

Tambahan pula, kandungan komersial, iklan, promosi produk dan tuntutan kesihatan boleh melibatkan peraturan lain.

 

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sendiri telah menerbitkan rujukan industri berkaitan kandungan dan iklan tuntutan kesihatan yang merujuk kepada peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, termasuk Seksyen 211 dan Seksyen 233.

 

Jadi, influencer bukan sekadar bertanya:

 

“Adakah video ini boleh dapat 1 juta views?”

 

Tetapi juga:

 

“Adakah setiap dakwaan dalam video ini boleh saya buktikan?”

 

15. Lima soalan yang patut ditanya sebelum tekan “Post”

 

Sebelum memuat naik video yang menyentuh orang atau organisasi tertentu, berhenti selama 30 saat dan tanya:

 

SOALAN 1

 

Adakah saya membuat kenyataan fakta atau sekadar memberikan pendapat?

 

SOALAN 2

 

Jika saya membuat dakwaan fakta, apakah bukti saya?

 

SOALAN 3

 

Adakah seseorang yang munasabah boleh mengenal pasti orang atau organisasi yang saya maksudkan?

 

SOALAN 4

 

Adakah perkataan saya boleh dianggap sebagai tuduhan serius, ancaman, gangguan atau komunikasi yang mempunyai implikasi di bawah undang-undang?

 

SOALAN 5

 

Jika peguam orang tersebut menunjukkan video saya di mahkamah enam bulan dari sekarang, adakah saya masih boleh menerangkan dan mempertahankan setiap kenyataan yang saya buat?

 

Jika jawapannya tidak pasti, mungkin lebih baik jangan tekan “Post” dahulu.

 

16. Checklist mudah sebelum memuat naik TikTok

 

Gunakan formula ini:

 

F.A.K.T.A

 

F — Fakta

Adakah fakta yang saya nyatakan benar dan boleh dibuktikan?

 

A — Audiens

Siapa yang akan melihatnya? Adakah ia boleh tersebar kepada ribuan atau jutaan orang?

 

K — Konteks

Adakah video saya menunjukkan konteks sebenar atau hanya potongan cerita?

 

T — Tuduhan

Adakah saya menuduh seseorang melakukan jenayah, penipuan, rasuah, kecurian atau perbuatan serius lain?

 

A — Akibat

Apakah kemungkinan kesan kepada orang yang saya sebut atau tunjukkan?

 

17. Kesimpulan: Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab

 

Media sosial telah memberi peluang kepada rakyat biasa untuk bersuara.

 

Seseorang tidak perlu menjadi wartawan atau mempunyai organisasi media sendiri untuk mendedahkan pengalaman, mengkritik sesuatu dasar, memberikan pendapat atau berkongsi maklumat.

 

Tetapi kebebasan bersuara bukan bermaksud “apa sahaja boleh dipost tanpa akibat.”

 

Di Malaysia, pengguna media sosial perlu mengambil kira beberapa bidang undang-undang, termasuk:

 

* Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara;

* Akta Fitnah 1957 dan prinsip common law berkaitan fitnah;

* Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah jenayah;

* Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian;

* dan, bergantung kepada kandungan serta keadaan, peruntukan undang-undang lain yang mungkin terpakai.

 

Perkembangan terbaru melalui keputusan Mahkamah Persekutuan dalam The Government of Malaysia v Heidy Quah Gaik Li [2026] 2 MLJ 397 juga menunjukkan bahawa isu media sosial, kebebasan bersuara dan Seksyen 233 bukan perkara yang boleh difahami hanya dengan melihat satu perkataan atau satu screenshot. Mahkamah perlu melihat kandungan, konteks dan unsur niat yang diperlukan oleh undang-undang.

 

Jadi, sebelum menekan “POST”, ingat satu perkara:

 

Internet mungkin hanya mengambil masa satu saat untuk menyebarkan video anda. Tetapi kesan undang-undangnya boleh bertahan jauh lebih lama.

 

Fikir dahulu. Semak fakta. Simpan bukti. Kemudian barulah post.

_________________________


Nota: Artikel ini bertujuan untuk pendidikan umum mengenai undang-undang Malaysia dan bukan nasihat undang-undang bagi mana-mana kes tertentu. Undang-undang dan tafsiran mahkamah boleh berubah, dan fakta setiap kes adalah berbeza.

 

 

Comments

Popular Posts